Assalamualaikum w.b.t....
hari ni 28 rejab 1433h bersamaan 18/06/2012 (isnin)..
saat singgah di blog iluvislam, kte ada terbaca artikel pasal ramadan..
tajuknya "MENGGAPAI RAMADAN"...
da X lama lagi kte semua akan melalui ramadan sekali lagi...insyaAllah, moga ramadan yg mendatang ni membawa seribu barakah buat kte dan keluarga kte semua. aminn...
~ARTIKEL KT BAWAH NI SEKADAR PERKONGSIAN DARI BLOG ILUVISLAM~
"MENGGAPAI RAMADAN"
Rejab seperti angin yang mula bertiup, Sya'aban seperti
sekumpulan awan hitam bergumpalan dan Ramadan adalah seperti titisan air
hujan yang menurunkan seribu rahmat.
Begitulah bibit-bibit puisi indah daripada Abu Bakar Al-Warraq.
Kita sentiasa berdoa dan merasa amat bertuah jika diizinkan Allah SWT
untuk menemui lagi Ramadan yang bakal membuka tirainya dalam masa tidak
sampai dua bulan. Umat manusia seringkali berharap agar dapat bersama
Ramadan sehingga ke akhirnya dan bertemu lagi dengannya pada tahun akan
datang.
Rasulullah SAW bersabda, dalam hadisnya yang bermaksud: "Kalaulah
umatku tahu tentang kebaikan bulan Ramadan mereka pasti mengharapkan
biarlah Ramadan itu sepanjang tahun". (Riwayat at-Tabrani)
Ramadan mengikut bahasa bermaksud kepanasan atau batu‐batu kecil yang
berada di padang pasir pada musim panas. Ia merupakan satu bulan
daripada bulan‐bulan Islam yang berada di antara Sya'ban dan Syawal.
Al‐Syeikh Sya'rawi di dalam Al‐Fatawa berkata: "Perkataan bulan
رهش diambil daripada maksud pemberitahuan dan penzahiran dan
kadang‐kadang dinamakan masa yang tertentu sebagai bulan". Bulan ini
ditaklifkan kepada umat Islam supaya berpuasa selama sebulan lamanya.
Puasa dari segi bahasa dapat ditakrifkan sebagai menahan diri
daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini
bertepatan dengan firman Allah SWT yang menceritakan perihal Maryam:
"...'Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana Allah yang bersifat ar‐Rahman'".
(Surah Maryam, ayat 26)
Adapun begitu, dari segi istilah syaraknya pula, puasa ialah menahan
diri daripada melakukan sebarang perkara yang membatalkannya, bermula
dari terbit fajar hingga terbenam matahari beserta dengan niat berpuasa
pada malam harinya.
Setelah memahami maksud puasa, apakah umat Islam hanya bersedia
melakukan ibadah puasa sekadar menahan diri daripada makan dan minum
mengikut waktu yang ditetapkan sahaja? Dan pada masa yang sama adakah
segala perbuatan yang keji masih diteruskan?
Merujuk kepada hadis riwayat Ibnu Huzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim:
"Bukanlah puasa namanya, hanya sekadar tidak makan dan tidak minum,
tetapi puasa yang sebenar ialah menahan diri daripada perkara yang
sia-sia dan bercakap kotor (keji), sekiranya ada orang yang memaki hamun
kamu atau memperbodohkan kamu, maka katakanlah padanya sesungguhnya aku
ini berpuasa".
Ibadah berpuasa pada bulan Ramadan telah difardhukan pada bulan
Sya'ban tahun ke‐2 Hijrah. Walau bagaimanapun, sebelum itu amalan puasa
memang biasa dilakukan di kalangan umat terdahulu dan ahli kitab sezaman
dengan Nabi Muhammad SAW. Allah SWT berfirman, yang bermaksud:
"Wahai
orang‐orang yang beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan
ke atas orang‐orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa."
(Surah al‐Baqarah, ayat 183)
Sayid Qutub berkata, "Demikianlah ayat ini menonjolkan matlamat agung
daripada ibadat puasa itu iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang
bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardhu puasa kerana
menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredhaan‐Nya. Taqwa itulah
yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun
maksiat yang berbisik di dalam hati. Orang‐orang yang dihadapkan
ayat‐ayat al‐Quran ini kepada mereka memang sedar betapa tingginya maqam
taqwa di sisi Allah dan betapa berat timbangannya di dalam neraca
Allah. Taqwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka, dan ibadat
puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai taqwa dan salah
satu jalan yang menyampaikan kepada taqwa. Oleh sebab itulah ayat ini
mengangkatkan taqwa di hadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang
yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa."
Ramadan adalah salah satu bulan Islam yang mempunyai kehebatan
tersendiri yang mana di dalamnya terdapat seribu satu kenikmatan,
kerahmatan dan keampunan daripada Allah SWT melalui salasilah
pensyariatannya kepada umat Islam.
Ramadan adalah bulan penuh keberkatan. Antara kelebihan Ramadan ialah
umat manusia akan dinaungi Ramadan. (Bagi yang telah meninggal dunia
semestinya terlepas daripada azab seksa kubur.) Di dalamnya juga
terdapat malam Al-Qadar yakni malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.
Bulan ini juga dipilih sebagai bulan untuk melakukan ibadah puasa dan
ibadah lain seperti bertadarus Al-Quran, Qiyammullail, berzikir,
berselawat serta ibadah sunat yang lain. Nilai amalan sunat yang
dikerjakan sama dengan solat fardhu, manakala solat fardhu yang
dikerjakan mendapat 70 kali ganda pahala.
Selain itu, Ramadan juga adalah bulan yang menguji kesabaran dan
pahalanya adalah syurga. Ramadan juga merupakan bulan keampunan dan doa
yang paling makbul ialah doa sebelum berbuka puasa, dan juga doa pada
sepertiga malam.
Manakala kelebihan terbesar di dalamnya terletak pada 10 hari pertama
yang merupakan permulaan kepada rahmat, disertai 10 hari pertengahan
yang merupakan Maghfirah atau keampunan daripada Allah dan 10 hari
terakhir untuk dijauhkan diri dari api neraka.
Antara peristiwa penting yang berlaku di bulan Ramadan ialah
penurunan Kitab Al-Quran, iaitu pada malam Nuzul Al-Quran. Al-Quran
merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di Gua
Hira'. Peristiwa itu berlaku pada hari Isnin, bersamaan 21 Ramadan atau
10 Ogos, tahun 610 Masihi. Peristiwa itu berlaku pada waktu malam ketika
baginda berusia genap 40 tahun 6 bulan 12 hari. Allah berfirman, yang
bermaksud:
"Bulan Ramadan diturunkan padanya al Qur'an..."
(Surah al‐Baqarah, ayat 185)
Akan tetapi, terdapat perselisihan tentang tarikh tepat penurunan Al-Qur'an. Namun, menurut firman Allah SWT:
"Sesungguhnya kami turunkannya pada malam Lailatul Qadar."
(Surah al-Qadar, ayat 1)
Itulah yang menjadi bukti Lailatul Qadar itu jatuhnya dalam bulan Ramadan dan merupakan malam penurunan Al-Qur'an.
Lailatul Qadar juga diriwayatkan turun pada malam ganjil sepuluh
terakhir Ramadan. Hadith yang diriwayatkan dari Ibnu Umar RA berbunyi:
"Dinampakkan dalam mimpi seorang lelaki bahawa Lailatul Qadar berlaku
pada malam kedua puluh tujuh, maka Rasulullah s.a.w. bersabda: "Saya pun
(Nabi) bermimpi seperti mimpimu, (dinampakkan pada sepuluh malam
terakhir.) maka carilah ia (Lailatul qadar) pada malam-malam yang
ganjil." (Hadis riwayat Muslim)
Perkara ini dikuatkan lagi dengan firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya
Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa
jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar
itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam
itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa
segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"
(Surah al-Qadar, ayat 1-5)
Selain itu, bulan Ramadan juga merakamkan peristiwa Perang Badar.
Perang Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah. Ia merupakan
perang pertama di dalam Islam.
Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara
Madinah dan Mekah. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan
menguasai sumber air yang terdapat di situ. Perang ini melibatkan
tentera Islam seramai 313 anggota berhadapan dengan 1,000 anggota
tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata.
Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70
tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan
diri. Peperangan ini adalah suatu yang luar biasa kerana tentera Islam
yang hanya sedikit jumlahnya dan lemah dari sudut kelengkapan, tetapi
berbekalkan ibadah puasa, telah memenangi pertempuran itu.
Ini membuktikan bahawa puasa bukanlah penyebab umat Islam perlu
bersikap lemah dan malas sebaliknya sentiasa berusaha demi mencapai
keredhaan Allah. Orang yang berjuang demi mencapai keredhaan Allah pasti
mencapai kemenangan yang dijanjikan.
Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya
Allah menolong kamu dalam Perang Badar, sedangkan pada masa itu kamu
orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu
mensyukurinya."
(Surah al-Imran, ayat 123 hingga 125)
"Dan juga
orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri
sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa
mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan
Allah - dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka
telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan
akibatnya)."
(Surah al-Imran, ayat 134)
Bulan Ramadan juga menyaksikan peristiwa Fathul Makkah iaitu
pembukaan kota Mekah. Peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadan tahun 8
Hijrah. Rasulullah dan umat Islam berpuasa ketika bertolak dari Madinah
dan sampai di Kadid, di antara I'sfan dan Amaj, baginda berbuka puasa.
Pembukaan kota Mekah ialah salah satu peristiwa yang terbesar dalam
sejarah Islam. Peristiwa ini yang menyebabkan kekuatan islam dan
penyebarannya mula berjalar ke serata alam. Peristiwa ini juga merupakan
tarikh keramat kepada kesempurnaan Islam. Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya kami telah membuka kepada kamu pembukaan yang benar."
(Surah al-Fath, ayat 1)
Ramadan juga merupakan bulan di mana berlakunya beberapa peperangan
Tabuk pada tahun 9 hijrah. Baginda keluar ke Tabuk pada bulan Rejab dan
kembali pada bulan Ramadan. Peperangan ini dikatakan berlaku selama 50
hari. Namun, secara tepatnya, peperangan di Tabuk berlaku selama 20 hari
sahaja. Hari selebihnya adalah tempoh masa perjalanan pergi dan balik.
Peperangan Tabuk ialah peperangan yang terakhir yang diikuti oleh Nabi
Muhammad SAW.
Kesimpulannya, Ramadan merupakan salah satu bulan yang hebat. Faktor
berpuasa tidak menjadi penghalang umat Islam untuk beribadah dan
berjihad. Ayuh, rebutlah seberapa banyak dalam melakukan amal ibadah
pada bulan Ramadan dan lipat gandakanlah pahala sebagai bekalan menuju
Allah kelak. Jika dalam bulan yang lain kita semua liat dalam melakukan
ibadah sunat, maka rebutlah peluang perbanyakkan ibadah pada bulan
Ramadan.
- Salmieza Othman (Jun,2012). menggapai ramadan. Artikel iluvislam.com.http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/4648-menggapai-ramadan.html. Retrieved by jun, 18, 2012