Assalamualaikum w.b.t....
hari ni 28 rejab 1433h bersamaan 18/06/2012 (isnin)..
saat singgah di blog iluvislam, kte ada terbaca artikel pasal ramadan..
tajuknya "MENGGAPAI RAMADAN"...
da X lama lagi kte semua akan melalui ramadan sekali lagi...insyaAllah, moga ramadan yg mendatang ni membawa seribu barakah buat kte dan keluarga kte semua. aminn...
"MENGGAPAI RAMADAN"
Rejab seperti angin yang mula bertiup, Sya'aban seperti sekumpulan awan hitam bergumpalan dan Ramadan adalah seperti titisan air hujan yang menurunkan seribu rahmat.Begitulah bibit-bibit puisi indah daripada Abu Bakar Al-Warraq.
Kita sentiasa berdoa dan merasa amat bertuah jika diizinkan Allah SWT untuk menemui lagi Ramadan yang bakal membuka tirainya dalam masa tidak sampai dua bulan. Umat manusia seringkali berharap agar dapat bersama Ramadan sehingga ke akhirnya dan bertemu lagi dengannya pada tahun akan datang.
Rasulullah SAW bersabda, dalam hadisnya yang bermaksud: "Kalaulah umatku tahu tentang kebaikan bulan Ramadan mereka pasti mengharapkan biarlah Ramadan itu sepanjang tahun". (Riwayat at-Tabrani)
Ramadan mengikut bahasa bermaksud kepanasan atau batu‐batu kecil yang berada di padang pasir pada musim panas. Ia merupakan satu bulan daripada bulan‐bulan Islam yang berada di antara Sya'ban dan Syawal. Al‐Syeikh Sya'rawi di dalam Al‐Fatawa berkata: "Perkataan bulan رهش diambil daripada maksud pemberitahuan dan penzahiran dan kadang‐kadang dinamakan masa yang tertentu sebagai bulan". Bulan ini ditaklifkan kepada umat Islam supaya berpuasa selama sebulan lamanya.
Puasa dari segi bahasa dapat ditakrifkan sebagai menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang menceritakan perihal Maryam:
"...'Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana Allah yang bersifat ar‐Rahman'".
(Surah Maryam, ayat 26)
(Surah Maryam, ayat 26)
Setelah memahami maksud puasa, apakah umat Islam hanya bersedia melakukan ibadah puasa sekadar menahan diri daripada makan dan minum mengikut waktu yang ditetapkan sahaja? Dan pada masa yang sama adakah segala perbuatan yang keji masih diteruskan?
Merujuk kepada hadis riwayat Ibnu Huzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim: "Bukanlah puasa namanya, hanya sekadar tidak makan dan tidak minum, tetapi puasa yang sebenar ialah menahan diri daripada perkara yang sia-sia dan bercakap kotor (keji), sekiranya ada orang yang memaki hamun kamu atau memperbodohkan kamu, maka katakanlah padanya sesungguhnya aku ini berpuasa".
Ibadah berpuasa pada bulan Ramadan telah difardhukan pada bulan Sya'ban tahun ke‐2 Hijrah. Walau bagaimanapun, sebelum itu amalan puasa memang biasa dilakukan di kalangan umat terdahulu dan ahli kitab sezaman dengan Nabi Muhammad SAW. Allah SWT berfirman, yang bermaksud:
"Wahai
orang‐orang yang beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan
ke atas orang‐orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa."
(Surah al‐Baqarah, ayat 183)
(Surah al‐Baqarah, ayat 183)
Ramadan adalah salah satu bulan Islam yang mempunyai kehebatan tersendiri yang mana di dalamnya terdapat seribu satu kenikmatan, kerahmatan dan keampunan daripada Allah SWT melalui salasilah pensyariatannya kepada umat Islam.
Ramadan adalah bulan penuh keberkatan. Antara kelebihan Ramadan ialah umat manusia akan dinaungi Ramadan. (Bagi yang telah meninggal dunia semestinya terlepas daripada azab seksa kubur.) Di dalamnya juga terdapat malam Al-Qadar yakni malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.
Bulan ini juga dipilih sebagai bulan untuk melakukan ibadah puasa dan ibadah lain seperti bertadarus Al-Quran, Qiyammullail, berzikir, berselawat serta ibadah sunat yang lain. Nilai amalan sunat yang dikerjakan sama dengan solat fardhu, manakala solat fardhu yang dikerjakan mendapat 70 kali ganda pahala.
Selain itu, Ramadan juga adalah bulan yang menguji kesabaran dan pahalanya adalah syurga. Ramadan juga merupakan bulan keampunan dan doa yang paling makbul ialah doa sebelum berbuka puasa, dan juga doa pada sepertiga malam.
Manakala kelebihan terbesar di dalamnya terletak pada 10 hari pertama yang merupakan permulaan kepada rahmat, disertai 10 hari pertengahan yang merupakan Maghfirah atau keampunan daripada Allah dan 10 hari terakhir untuk dijauhkan diri dari api neraka.
Antara peristiwa penting yang berlaku di bulan Ramadan ialah penurunan Kitab Al-Quran, iaitu pada malam Nuzul Al-Quran. Al-Quran merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di Gua Hira'. Peristiwa itu berlaku pada hari Isnin, bersamaan 21 Ramadan atau 10 Ogos, tahun 610 Masihi. Peristiwa itu berlaku pada waktu malam ketika baginda berusia genap 40 tahun 6 bulan 12 hari. Allah berfirman, yang bermaksud:
"Bulan Ramadan diturunkan padanya al Qur'an..."
(Surah al‐Baqarah, ayat 185)
(Surah al‐Baqarah, ayat 185)
"Sesungguhnya kami turunkannya pada malam Lailatul Qadar."
(Surah al-Qadar, ayat 1)
(Surah al-Qadar, ayat 1)
Lailatul Qadar juga diriwayatkan turun pada malam ganjil sepuluh terakhir Ramadan. Hadith yang diriwayatkan dari Ibnu Umar RA berbunyi: "Dinampakkan dalam mimpi seorang lelaki bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam kedua puluh tujuh, maka Rasulullah s.a.w. bersabda: "Saya pun (Nabi) bermimpi seperti mimpimu, (dinampakkan pada sepuluh malam terakhir.) maka carilah ia (Lailatul qadar) pada malam-malam yang ganjil." (Hadis riwayat Muslim)
Perkara ini dikuatkan lagi dengan firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya
Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa
jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar
itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam
itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa
segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"
(Surah al-Qadar, ayat 1-5)
(Surah al-Qadar, ayat 1-5)
Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dan Mekah. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan menguasai sumber air yang terdapat di situ. Perang ini melibatkan tentera Islam seramai 313 anggota berhadapan dengan 1,000 anggota tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata.
Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri. Peperangan ini adalah suatu yang luar biasa kerana tentera Islam yang hanya sedikit jumlahnya dan lemah dari sudut kelengkapan, tetapi berbekalkan ibadah puasa, telah memenangi pertempuran itu.
Ini membuktikan bahawa puasa bukanlah penyebab umat Islam perlu bersikap lemah dan malas sebaliknya sentiasa berusaha demi mencapai keredhaan Allah. Orang yang berjuang demi mencapai keredhaan Allah pasti mencapai kemenangan yang dijanjikan.
Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya
Allah menolong kamu dalam Perang Badar, sedangkan pada masa itu kamu
orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu
mensyukurinya."
(Surah al-Imran, ayat 123 hingga 125)
(Surah al-Imran, ayat 123 hingga 125)
"Dan juga
orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri
sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa
mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan
Allah - dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka
telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan
akibatnya)."
(Surah al-Imran, ayat 134)
(Surah al-Imran, ayat 134)
Pembukaan kota Mekah ialah salah satu peristiwa yang terbesar dalam sejarah Islam. Peristiwa ini yang menyebabkan kekuatan islam dan penyebarannya mula berjalar ke serata alam. Peristiwa ini juga merupakan tarikh keramat kepada kesempurnaan Islam. Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya kami telah membuka kepada kamu pembukaan yang benar."
(Surah al-Fath, ayat 1)
(Surah al-Fath, ayat 1)
Kesimpulannya, Ramadan merupakan salah satu bulan yang hebat. Faktor berpuasa tidak menjadi penghalang umat Islam untuk beribadah dan berjihad. Ayuh, rebutlah seberapa banyak dalam melakukan amal ibadah pada bulan Ramadan dan lipat gandakanlah pahala sebagai bekalan menuju Allah kelak. Jika dalam bulan yang lain kita semua liat dalam melakukan ibadah sunat, maka rebutlah peluang perbanyakkan ibadah pada bulan Ramadan.
- Salmieza Othman (Jun,2012). menggapai ramadan. Artikel iluvislam.com.http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/4648-menggapai-ramadan.html. Retrieved by jun, 18, 2012
No comments:
Post a Comment